Saturday, December 21, 2019

Day 3 - Hari terakhir di Sedili

Hari Terakhir Di Sedili

Pagi-pagi lagi dah bangun, excited menunggu fajar menyingsing dan melihat matahari muncul di ufuk timur.

Angin masih bertiup kencang, dengan suasana diawal subuh, sememang sejuk mencengkam.


Suasana waktu subuh
Menanti terbitnya matahari

Pagi tu ke Pekan Sedili lagi, cari sarapan. Kami ke gerai di tepi jeti nelayan tu. Nak cari makanan tempatan yang unik. Jumpa satu laksa ni, dipanggil laksa gandum. Kuah macam laksam tapi warna sedikit merah sebab letak cili kisar. Mee laksa dibuat sendiri dari tepung gandum. Sedap.

Laksa gandum, kuahnya macam laksam tapi sedikit pedas sebab ada campuran cili kisar dalam kuahnya. 

Budak berdua ni, tak mandi lagi tapi tetap nak ikut tok dan nenek cari sarapan.

Sebelum check out, kami cadang nak buat bbq lagi. Cari ikan di jeti nelayan Sedili Besar, malangnya tiada nelayan yang menjual hari tu. Rupanya ramai yang tidak ke laut semalam disebabkan angin kencang. Kami ke Tanjung Sedili pula, manalah tau, ada nelayan yang menjual di jeti sana. Alhamdulillah, rezeki kami, dapat lah juga beli ikan, udang dan sotong di sana.

Selepas sarapan, cucu-cucu sedara dah tak sabar nak mandi laut lagi. Pagi ini cuaca cerah dan ombak pun tak sekuat semalam. Saya minta anak-anak temankan mereka. Sementara itu, saya menyediakan bahan-bahan untuk bbq. Suami nak buat di pantai pula.

Seronoknya mereka dapat mandi laut lagi.

Konon nak berbbq di pantai, tapi angin kuat, jadi lambat lah nak masak udang-udang tu. Akhirnya sambung bakar di cottage je lah.

Walaupun ada orang lain yang nak check in hari ni, pihak cottage baik hati, tak de lah nak suruh kami keluar cepat-cepat. Dalam pukul 1 lebih, kami berangkat keluar dari Khayla Kootage. Saya memang seronok tinggal di sini. Next trip plan nak datang dan tinggal di sini lagi. Ikut kata penjaga cottage tu, dalam bulan Jun-September, waktu yang cantik untuk tengok laut biru sambil memancing disebabkan laut tidak berombak kuat.

Untuk menginap di sini, boleh layari fb Khayla Kootage atau terus menghubungi En. Farid di no. 0137116301.

Berwefie sebagai kenangan di hadapan rumah Khayla Kootage.

Ke Mersing Cari Keropok

Kami bertolak pula ke Mersing untuk mencari keropok lekor.  Perjalanan dari Sedili ke Mersing sejauh 90km lebih mengambil masa hampir 2 jam. Kami singgah di gerai-gerai yang menjual pelbagai hasil laut di Jalan Makam. Tumpuan utama saya adalah keropok lekor. Keropok lekor di sini sedap macam di Terengganu. Saya suka keropok lekor yang macam sosej tu. Ia banyak ikan, lembut dan tidak keras walaupun setelah sejuk. Habis saya borong keropok keping, keropok lekor mentah dan siap digoreng untuk dimakan di sepanjang perjalan balik ke Lembah Kelang.

Berehat sebentar di Jalan Makam sambil melihat gugusan Pulau Setindan

Kebetulan waktu saya lalu di Jalan Makam tu, ada pasar tani.  Rupanya, setiap Jumaat ada Pasar Tani Jumaat yang dibuka di bangunan yang dipanggil  PAKAR (Pasar Komuniti dan Karavan) yang menjual pelbagai barangan basah dan kering dan juga makanan-makanan yang pelbagai. Tak sempat nak ambil gambar tempat ni.  Singgah beli apa yang patut je sebab dah keletihan. Kami bertolak balik lepas Asar. Ikut jalan Mersing - Kahang - Kluang - Ayer Hitam dan keluar di Tol Ayer Hitam untuk masuk ke Lebuhraya Plus.


Berakhirlah episod perjalanan saya dari Lemah Kelang ke Bandar Penawar ke Sedili ke Mersing dan Lembah Kelang.

Sehingga berjumpa lagi dilain post. Assalamualaikum.


Friday, December 20, 2019

Day 2 In Sedeli


5 Disember 2019 - Hari ke Dua

Malam semalam basuh baju di homestay. Sidai pagi-pagi tu. Disebabkan angin yang masih bertiup kencang, jemur sekejap je pun dah kering walaupun cuaca mendung. Cari sarapan di Taman Desaru Utama. Nampak deretan gerai tepi jalan yang menjual sarapan tidak jauh dari bulatan ke pusat komersial Desaru Utama. Singgah di sana beli nasi lemak dan kuih muih. Harga berpatutan. Nasi lemak bungkus daun pisang tu masih dapat lagi dengan harga RM2.00. Kuih 5 ketul RM2, tapi saiz dia comel-comel lah.


Perjalanan Ke Sedili

Kami mengambil jalan Tanjung Balau - Sedili. Jalan ni mengikuti pantai, tapi tak dapat sangat melihat ekologi pantai. Kebanyakan kawasan telah ditanam dengan pokok kelapa sawit. Dalam perjalanan terjumpa satu pantai namanya Tanjung Buluh. Tengah ada perasmian pembukaan pantai baru ini. Singgah sekejap. Kononnya nak jalan-jalan sambil mengambil gambar, tetapi hujan turun dengan lebatnya. Terbantut rancangan. Lain kali lah kami explore tempat ni. Kami pun meneruskan perjalanan ke Sedili.

Sempat tangkap gambar ni sahaja sebelum hujan mencurah turun



Tanjung Sedili

Singgah di jeti nelayan, Tanjung Sedeli. Cadang nak cari ikan, udang dan sotong nak buat bbq di tempat kami menginap nanti. 
Jambatan untuk ke Sedili Besar merentasi Sungai Sedili


Khayla Kootage, Sedili Besar

Message owner penginapan ni, kalau boleh dapat check in tengahari. Alhamdulillah, rezeki kami sebab tiada orang yang tinggal hari tu. Tempat penginapan kami ini di Sedili Besar. Saya berasa sedikit resah bila lihat simpang masuk untuk ke Sedeli Besar ni jalannya kecil je dan di kelilingi oleh ladang kelapa sawit. Saya jangkakan adalah perkampungan nelayan.

Sampai di Khayla Kootage, semua bertanya saya, betul ke tempat ni yang kita nak tinggal. Nampak macam horror sikit. Sebabnya, persekitarannya macam nampak terbiar, rumput yang tidak dipotong, semak samun sekelilingnya dengan sisa-sisa bahan binaan tidak dikemaskan. Penjaga tempat ni pun tak datang lagi untuk kami bertanya lebih lanjut tentang keadaan ini. Sambil menunggu dia datang, kami pun berjalan lah ke bahagian belakang.

MasyaAllah. Apa yang kami nampak amat mengejutkan. Berlainan dari apa kami lihat dari depan. A million dollar view. Pemandangan laut yang menakjubkan dengan bunyi ombak berserta angin pantai yang kuat.


Pandangan hadapan Khayla Kootage

Khayla Kootage ni terletak di atas tebing yang menghadap laut. Dari atas dek, - even from the room - kita boleh menikmati keindahan pantai dan lautan. Kami menginap diwaktu musim monsun, memang angin bertiup kencang. Dari dalam bilik selain dengar bunyi hempasan ombak, bunyi desiran angin yang kuat juga menerjah ke telinga. Kami memang tak pernah lagi merasa tinggal di kawasan yang angin bertiup kencang tanpa henti.  Satu pengalamanan yang mengujakan. Satu lagi pengalaman dengan angin kuat ni, nak basuh pinggan mangkuk di sinki yang terletak di luar bilik, terasa mencabar sungguh. Semua macam nak terbang. Tudung dan baju kena tie in, kalau tak, jawabnya melambai-lambai lah nak terbang sekali... hahaha....


Saya message owner untuk minta kebenaran lihat-lihat kawasan di situ sambil makan-makan sementara menunggu penjaga cottage ni sampai.

Pandangan laut Cina Selatan dari atas Menara
                                                                                

Tangga untuk ke menara pandang
Pandangan di Menara berlatarkan laut Cina Selatan 
Pandangan di dek aras tanah

Pandangan di laluan dek berhadapan dengan bilik

Pandangan Menara pandang
Bahagian belakang cottage
Denai ke laut, ada hammock lagi. Boleh baring berayun-ayun sambil feeling ke langit mimpi

Berbbq lah lunch hari ni

Hidangan lunch - ikan bakar, sotong bakar dan udang bakar dengan cicah sambal kicap


Tengah berbbq, penjaga cottage sampai. Berbual lah sikit sebanyak tentang Khayla Kootage ini. En. Helmi ni macam dah tau je yang saya nak bertanya mengenai cottage yang macam tidak terurus ni.  Dia menerangkan yang sekarang ni tengah sibuk dengan kerja-kerja kontraktor di samping menternak ayam.  Sebab itu dia tak sempat nak potong rumput dan lain-lain tu. Bangunan yang terbengkalai di sebelah cottage ni pun tengah tunggu owner tambah dana, katanya lagi. Kalau siap, memang cantik. Cottage 2 tingkat memandang ke laut.

Khayla Kootage ni ada lah sebuah rumah dengan dua buah bilik berasingan. Semua bilik menghadap laut. Biliknya amat luas dan selesa. Boleh memuatkan kami yang terdiri dari 6 dewasa dan 2 kanak-kanak ini dengan selesa. Kami menginap di bilik B yang terdapat 1 katil king dan 1 queen. Bilik airnya juga cantik ala-ala resort.


           

Pandangan dari dalam bilik menghala ke luar

Aktiviti wajib - Mandi Laut

Cucu sedara ni memang dah tak sabar-sabar nak mandi laut. Lepas angkat semua barang-barang dalam bilik, asyik bertanya je bila boleh mandi laut. Saya tak bagi lagi sebab nampak air masih pasang dan berombak. Bila dapat green light dari saya, melompat terus mereka berdua salin baju. Aduhai cucu-cucu ku.

Pantai di hadapan Khayla Kootage. 


Ombak memang besar tapi pantai ni dikelilingi telok yang berbatu, agak selamat juga untuk mandi.

Ada buaian lagi. Seronok ni berbuai sambil nyanyi lagu pohon beringin, aku nak kahwin dengan anak raja... Haha....

Membina istana pasir. Kejap lagi hilang lah istana tu ditelan ombak.

Ada kisah separuh ngeri yang berlaku. Dah puas mandi, naik balik ke cottage, tengok muka suami lain macam je. Dia suruh kami cepat-cepat naik, masuk bilik dan salin baju. Rupanya, waktu kami kat pantai tadi, ada babi hutan dah masuk ke halaman cottage. Cottage ni berpagar, tapi pintu pagar tak ada lah pula. Huhuhu..

Kami cepat-cepat bersiap untuk ke pekan Sedili Besar sebelum malam menjelang takut terserempak lagi dengan 'wildlife'


Jalan-jalan Cari Makan

Lepas mandi laut, petang tu kami ke pekan Sedili Besar untuk mencari makanan sambil melihat-lihat kawasan setempat.

Ada banyak gerai-gerai yang menjual makanan tempatan. Antaranya keropok lekor, nasi/mee goreng udang, ikan/udang/sotong goreng celup tepung, maggi ketam dll. Goreng celup tepung tu cara memesannya saya rasa berlainan sikit dari Pantai Timur. Kita pilih dulu makanan laut yang hendak digoreng tu, barulah pihak gerai akan kira harga dan gorengkan. Harga berdasar saiz dan jenis makanan laut tu. Sebagai contoh ikan pelaling bersaiz kecil berharga rm3 seekor, sotong saiz besar dalam rm28 seekor.

Minum petang di pekan Sedili Besar 


Kisah seterusnya akan disambung pada post berikutnya iaitu hari terakhir kami menginap di Sedili.

Tuesday, December 17, 2019

Perjalanan Ke Bandar Penawar - Sedeli

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga baginda.

Ini adalah blog pertama saya yang terhasil setelah bertahun-tahun menangguh untuk menulis di dalam blog. Biasa menulis di dalam Google review dan IG sahaja... hihi...

Untuk tulisan pertama ini saya nak menceritakan mengenai perjalanan saya ke Bandar Penawar dan Sedeli. Walaupun saya orang Johor, ini adalah pertama kali saya bercuti ke Sedeli. Sebelum-sebelum ini kalau saya ke Bandar Penawar/Desaru,  akan terus ke Mersing. Sedeli selalu terlepas dari pandangan.

4hb. Disember 2019 yang lalu, saya menjemput anak yang belajar di Bandar Penawar untuk pulang cuti semester. Kebetulan cuti sekolah dan anak yang sulong pun bercuti semester juga, ini lah masa yang sesuai untuk percutian keluarga.  Saya mencadangkan kepada suami selepas mengambil anak di sana, kita terus bercuti ke Sedeli.

Dalam mana-mana percutian keluarga, saya lah 'The Master Planner'.  Ok, first task. Let's google the place to stay and visit.

Setelah dibaca ulasan di sana sini, saya buat keputusan untuk menginap di Bandar Penawar pada hari pertama dan keesokan harinya menginap di Sedeli.

Mencari tempat menginap ni memang selalu pening kepala disebabkan saya ni jenis budget traveller. Nak cari tempat menginap yang selasa tapi harga dalam mampu milik. Haha...

Ada perkara yang tidak dirancang telah berlaku. Sepatutnya yang mengikuti perjalanan ini hanya lah kami sekeluarga, tetapi dua orang cucu sedara telah mendengar perbualan saya dengan anak waktu saya menyuruh dia kemas barang-barang yang patut sahaja untuk dibawa balik takut tak muat kereta. Saya cakap kat anak, "lepas ambil awak nanti kita nak terus berjalan-jalan. Nak mandi laut sekali."

Dengar perkataan mandi laut, terus  dua cucu sedara menjerit nak ikut sekali. Aduhai, serba salah saya dibuatnya. Nak kata tak boleh, kesiannya tengok muka mereka yang excited nak ikut. Nak kata boleh, memang tak muat kerete. Kami je dah berenam. Cakap dengan suami, dia kata nanti dia tanya kot2 kawan dia boleh bagi pinjam mpv.  Saya pun bagitau kat cucu sedara nanti nenek confirm balik macam mana ya.

Dua hari senyap tak bagi kata putus kat dua cucu sedara tu. Sehari sebelum bertolak, dapat WhatsApp dari anak sedara. Dia kata budak2 berdua tu dah siap2 kemas kain baju masukkan dalam beg. Aduhai, macamana ni. Terus ws suami, tanya "macamana, dapat ke mpv?"  Alhamdulillah, dapat pinjam mpv kawan dia. Terima kasih lah kat kawan suami tu, tertunai hasrat cucu sedara nak ikut.

Message di group whatsapp ni buat hati saya tak keruan. Cucu2 dah kemas kain baju... huhu..



4 Disember 2019 - hari pertama

Perjalanan bermula seawal jam 5 pagi dari rumah kami di Lembah Kelang ke Bandar Penawar. Singgah di RnR Seremban untuk solat Subuh. SubhanAllah, angin bertiup kencang di sini.

Sampai di Bandar Penawar dah dekat pukul 11 lebih. Ada masalah pula. Barang-barang anak tak boleh simpan di stor asrama sebab dah penuh. Think fast, Fia. How to resolve this problem. Terus call sepupu saya di Felda Sg.Mas. Sebenarnya malu nak minta tolong dengan mereka. Saya tak pernah langsung ke rumah mereka. Dan yang paling teruk, sepanjang ambil dan hantar anak ke Bandar Penawar, call mereka pun tidak.  Jumpa dengan mereka pun tahun 2017, waktu kenduri kahwin anak sedara di kampung. Alhamdulillah, dapat juga cari rumah mereka. Terima kasih abang Ahmad dan kak Sal,  kerana sudi nenerima kunjungan kami yang mengejut ini.  Sebenarnya saya ada seorang lagi sepupu tinggal di Felda Air Tawar iaitu abang Mael. Dia ni adik kepada abang Ahmad. Pun saya tak pernah ke rumahnya.


Muka ceria cucu sedara dah sampai di Bandar Penawar.

Homestay Sri Penawar 

Sementara menunggu anak habis menduduki  peperiksaan untuk paper terakhirnya, kami check in dulu di homestay Sri Penawar. Homestay ini terletak di Taman Sri Penawar, Bandar Penawar.

Pandangan di hadapan rumah


Ada kawasan lapang di hadapan rumah. Berangin je homestay ni kerana tidak terhalang oleh bangunan dan lagi tengah musim monsun ni, berdesir-desir angin masuk rumah.

Homestay ni milik En.Sopian. Sebenarnya saya dah menempah homestay lain tapi owner homestay tu bagitau nak pindahkan saya ke homestay lain pula di taman yang sama. Saya rasa sedikit pelik sebab homestay dia yang saya search cuma ada satu je.  Setelah meneliti fasiliti di homestay ini sama dengan yang saya tempah tu, saya pun bersetujulah. Rupanya kedua tuan punya homestay ni ipar duai.

Homestay En.Sopian ni dalam taman perumahan baru. Jiran tak ramai lagi. Homestay 3 bilik tidur dengan 2 bilik air. Bilik utama ada aircond dengan 1  katil queen. Bilik ke dua ada 1 katil queen dan bilik ke tiga 1 katil bujang tapi disediakan tilam tambahan. Keperluan memasak dengan dapur dan pinggan mangkuk ada disediakan. Begitu juga dengan mesin basuh dan peti sejuk.  Homestay ni selesa dan kemas. Cuma ada sedikit habuk di kipas dinding. Haha... Nak ulas juga sebab anak saya alah habuk. Terpaksa lah dia cuci kipas tu.

Harga homestay ni RM180 satu malam. Direct dengan owner. Kalau melalui Airbnb  mahal sikit  dalam RM203. Sbb ada caj fee dari Airbnb. Ni no telefon owner homestay pertama Dr.Jami 019-730 7924. Sri Penawar Homestay En. Sopian  019-707 0005

Foto homestay dari page En. Sopian


Mandi Pool di Bayu Balau Beach Resort

Petang tu kami ke Bayu Balau Beach Resort. Cucu2 sedara dah tak sabar nak mandi pool. Asyik tanya, "nek, bila kita nak gi mandi pool." Di resort ni ada kemudahan kolam renang. Kalau nak mandi, untuk non residen ada caj yang dikenakan. Kanak- kanak 5 tahun ke atas dan orang dewasa di kenakan caj sebanyak rm10 seorang.

Pool dia tak lah besar sangat. Ada satu kawasan boleh menggelunsur terus ke dalam 'wading pool'. Pool yang lebih dalam di sebelahnya.

Syaurah dan Syauqi - cucu sedara yang tak sabar-sabar nak mandi pool



Jeti Tanjung Balau

Sebelah resort ni ada satu jeti yang boleh kita duduk untuk menikmati pemandangan Laut Cina Selatan. Angin bertiup kencang dan ombak juga kuat. Waktu ni Desaru dan persekitarannya mengalami musim peralihan monsun. Di Bandar Penawar lagi dah terasa angin yang kuat.







Pantai Tanjung Balau

Pantai ni bersebelahan dengan Muzium Nelayan. Kami ke sana memang betul-betul dah senja. Angin sentiasa bertiup kencang dan ombak juga kuat memukul pantai tapi itu semua bukanlah penghalang  untuk kami melalui board walk yang menarik ini. Pantai di sini landai tidak seperti di Desaru dan di sini juga ada restoren Mary Brown.




Ambil feeling Titanic

Sampai di sini nukilan untuk hari pertama ini. Catatan perjalanan hari ke dua akan bersambung di post seterusnya.
https://nukilanfia.blogspot.com/2019/12/day-2-in-sedeli_20.html?m=1