Friday, December 20, 2019

Day 2 In Sedeli


5 Disember 2019 - Hari ke Dua

Malam semalam basuh baju di homestay. Sidai pagi-pagi tu. Disebabkan angin yang masih bertiup kencang, jemur sekejap je pun dah kering walaupun cuaca mendung. Cari sarapan di Taman Desaru Utama. Nampak deretan gerai tepi jalan yang menjual sarapan tidak jauh dari bulatan ke pusat komersial Desaru Utama. Singgah di sana beli nasi lemak dan kuih muih. Harga berpatutan. Nasi lemak bungkus daun pisang tu masih dapat lagi dengan harga RM2.00. Kuih 5 ketul RM2, tapi saiz dia comel-comel lah.


Perjalanan Ke Sedili

Kami mengambil jalan Tanjung Balau - Sedili. Jalan ni mengikuti pantai, tapi tak dapat sangat melihat ekologi pantai. Kebanyakan kawasan telah ditanam dengan pokok kelapa sawit. Dalam perjalanan terjumpa satu pantai namanya Tanjung Buluh. Tengah ada perasmian pembukaan pantai baru ini. Singgah sekejap. Kononnya nak jalan-jalan sambil mengambil gambar, tetapi hujan turun dengan lebatnya. Terbantut rancangan. Lain kali lah kami explore tempat ni. Kami pun meneruskan perjalanan ke Sedili.

Sempat tangkap gambar ni sahaja sebelum hujan mencurah turun



Tanjung Sedili

Singgah di jeti nelayan, Tanjung Sedeli. Cadang nak cari ikan, udang dan sotong nak buat bbq di tempat kami menginap nanti. 
Jambatan untuk ke Sedili Besar merentasi Sungai Sedili


Khayla Kootage, Sedili Besar

Message owner penginapan ni, kalau boleh dapat check in tengahari. Alhamdulillah, rezeki kami sebab tiada orang yang tinggal hari tu. Tempat penginapan kami ini di Sedili Besar. Saya berasa sedikit resah bila lihat simpang masuk untuk ke Sedeli Besar ni jalannya kecil je dan di kelilingi oleh ladang kelapa sawit. Saya jangkakan adalah perkampungan nelayan.

Sampai di Khayla Kootage, semua bertanya saya, betul ke tempat ni yang kita nak tinggal. Nampak macam horror sikit. Sebabnya, persekitarannya macam nampak terbiar, rumput yang tidak dipotong, semak samun sekelilingnya dengan sisa-sisa bahan binaan tidak dikemaskan. Penjaga tempat ni pun tak datang lagi untuk kami bertanya lebih lanjut tentang keadaan ini. Sambil menunggu dia datang, kami pun berjalan lah ke bahagian belakang.

MasyaAllah. Apa yang kami nampak amat mengejutkan. Berlainan dari apa kami lihat dari depan. A million dollar view. Pemandangan laut yang menakjubkan dengan bunyi ombak berserta angin pantai yang kuat.


Pandangan hadapan Khayla Kootage

Khayla Kootage ni terletak di atas tebing yang menghadap laut. Dari atas dek, - even from the room - kita boleh menikmati keindahan pantai dan lautan. Kami menginap diwaktu musim monsun, memang angin bertiup kencang. Dari dalam bilik selain dengar bunyi hempasan ombak, bunyi desiran angin yang kuat juga menerjah ke telinga. Kami memang tak pernah lagi merasa tinggal di kawasan yang angin bertiup kencang tanpa henti.  Satu pengalamanan yang mengujakan. Satu lagi pengalaman dengan angin kuat ni, nak basuh pinggan mangkuk di sinki yang terletak di luar bilik, terasa mencabar sungguh. Semua macam nak terbang. Tudung dan baju kena tie in, kalau tak, jawabnya melambai-lambai lah nak terbang sekali... hahaha....


Saya message owner untuk minta kebenaran lihat-lihat kawasan di situ sambil makan-makan sementara menunggu penjaga cottage ni sampai.

Pandangan laut Cina Selatan dari atas Menara
                                                                                

Tangga untuk ke menara pandang
Pandangan di Menara berlatarkan laut Cina Selatan 
Pandangan di dek aras tanah

Pandangan di laluan dek berhadapan dengan bilik

Pandangan Menara pandang
Bahagian belakang cottage
Denai ke laut, ada hammock lagi. Boleh baring berayun-ayun sambil feeling ke langit mimpi

Berbbq lah lunch hari ni

Hidangan lunch - ikan bakar, sotong bakar dan udang bakar dengan cicah sambal kicap


Tengah berbbq, penjaga cottage sampai. Berbual lah sikit sebanyak tentang Khayla Kootage ini. En. Helmi ni macam dah tau je yang saya nak bertanya mengenai cottage yang macam tidak terurus ni.  Dia menerangkan yang sekarang ni tengah sibuk dengan kerja-kerja kontraktor di samping menternak ayam.  Sebab itu dia tak sempat nak potong rumput dan lain-lain tu. Bangunan yang terbengkalai di sebelah cottage ni pun tengah tunggu owner tambah dana, katanya lagi. Kalau siap, memang cantik. Cottage 2 tingkat memandang ke laut.

Khayla Kootage ni ada lah sebuah rumah dengan dua buah bilik berasingan. Semua bilik menghadap laut. Biliknya amat luas dan selesa. Boleh memuatkan kami yang terdiri dari 6 dewasa dan 2 kanak-kanak ini dengan selesa. Kami menginap di bilik B yang terdapat 1 katil king dan 1 queen. Bilik airnya juga cantik ala-ala resort.


           

Pandangan dari dalam bilik menghala ke luar

Aktiviti wajib - Mandi Laut

Cucu sedara ni memang dah tak sabar-sabar nak mandi laut. Lepas angkat semua barang-barang dalam bilik, asyik bertanya je bila boleh mandi laut. Saya tak bagi lagi sebab nampak air masih pasang dan berombak. Bila dapat green light dari saya, melompat terus mereka berdua salin baju. Aduhai cucu-cucu ku.

Pantai di hadapan Khayla Kootage. 


Ombak memang besar tapi pantai ni dikelilingi telok yang berbatu, agak selamat juga untuk mandi.

Ada buaian lagi. Seronok ni berbuai sambil nyanyi lagu pohon beringin, aku nak kahwin dengan anak raja... Haha....

Membina istana pasir. Kejap lagi hilang lah istana tu ditelan ombak.

Ada kisah separuh ngeri yang berlaku. Dah puas mandi, naik balik ke cottage, tengok muka suami lain macam je. Dia suruh kami cepat-cepat naik, masuk bilik dan salin baju. Rupanya, waktu kami kat pantai tadi, ada babi hutan dah masuk ke halaman cottage. Cottage ni berpagar, tapi pintu pagar tak ada lah pula. Huhuhu..

Kami cepat-cepat bersiap untuk ke pekan Sedili Besar sebelum malam menjelang takut terserempak lagi dengan 'wildlife'


Jalan-jalan Cari Makan

Lepas mandi laut, petang tu kami ke pekan Sedili Besar untuk mencari makanan sambil melihat-lihat kawasan setempat.

Ada banyak gerai-gerai yang menjual makanan tempatan. Antaranya keropok lekor, nasi/mee goreng udang, ikan/udang/sotong goreng celup tepung, maggi ketam dll. Goreng celup tepung tu cara memesannya saya rasa berlainan sikit dari Pantai Timur. Kita pilih dulu makanan laut yang hendak digoreng tu, barulah pihak gerai akan kira harga dan gorengkan. Harga berdasar saiz dan jenis makanan laut tu. Sebagai contoh ikan pelaling bersaiz kecil berharga rm3 seekor, sotong saiz besar dalam rm28 seekor.

Minum petang di pekan Sedili Besar 


Kisah seterusnya akan disambung pada post berikutnya iaitu hari terakhir kami menginap di Sedili.

No comments:

Post a Comment